Ahad, 6 Disember 2015

Resepi Kek Lapis Hijau


Nota: Resepi ini untuk loyang berukuran 9" x 4.5" x 4.5"

Bahan-bahan:

Lapisan Hijau


  • 10 biji kuning telur Grade A
  • 225g mentega berkualiti tinggi
  • 1/3 cawan gula halus
  • 1/4 tin susu pekat manis
  • 1 cawan horlicks (boleh juga digantikan dengan serbuk santan atau nestum yang sudah dikisar)
  • 1/2 cawan biskut marie kisar (biskut marie dikisar, diayak dan kemudian barulah disukat)
  • 1/2-1 botol kecil pandan paste cap Koepoe-Koepoe (boleh juga guna pandan emulco cap Nona sebanyak 3 sudu makan)


Lapisan Putih :


  • 1 1/2 cawan tepung gandum/tepung hong kong (diayak)
  • 225g mentega berkualiti tinggi
  • 10 biji putih telur Grade A
  • 1 cawan gula halus (boleh dikurangkan mengikut citarasa)
  • 1/2 tin susu pekat manis


Cara-caranya

Lapisan Hijau :

Kuning telur dan gula dipukul sampai kembang. Di dalam mangkuk berasingan, mentega dan susu manis dipukul sampai putih dan barulah disatukan dengan kuning telur tadi. Putar sebati dengan kelajuan minima. Kemudian masukkan horlicks, tepung biskut marie dan pandan paste. Putar hingga sebati. Kemudian adunan dibahagikan kepada beberapa bahagian sama rata dalam bekas/cawan yang sama saiznya.

Lapisan Putih :

Pukul putih telur sampai kembang. Masukkan gula halus dan pukul lagi hingga kental. Di dalam mangkuk berasingan, pukul mentega bersama susu manis sampai putih dan barulah disatukan dengan putih telur. Putar dengan kelajuan sederhana. Akhir sekali masukkan tepung gandum dan kacau rata-rata. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian mengikut citarasa. (contoh jika adunan hijau 4, lapisan putih pun 4, atau 5-5, atau 4-5, atau 5-6)

Kukuslah adunan lapis demi lapis hingga habis. Setiap lapisan dikukus lebih kurang 7-10 minit atau hingga dah tak cair. Untuk lapisan terakhir, sila kukus 1/2 atau 1 jam lagi untuk masak sempurna.

Balutkan penutup kukusan dengan tuala ketika mengukus. Boleh juga tutup loyang kek dengan kertas foil setiap kali mengukus.
Jika air sudah hampir kering, tambahkan dengan air panas.

Nota:
***telur 10 biji diasingkan putih dan kuningnya (kuning telur utk lapisan hijau dan putih telur utk lapisan putih)
***balutkan kek dgn cling wrap dan sejukkan di dlm fridge sekiranya ingin menyimpan lama

Selamat Mencuba !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan